SHAH ALAM – Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib memohon seluruh warga universiti dan masyarakat mendoakan kesejahteraan dua pensyarahnya yang ditimpa musibah apabila kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Apartment Baiduri, Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, di sini hari ini.
Seruan itu dibuat Shahrin menerusi hantaran di Facebook rasminya dengan kedua-dua mangsa ialah Dr. Nur Shahidah Ab Aziz, 39, dan Dr. Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, dari Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK) UiTM Shah Alam.
Jelasnya, berdasarkan maklumat FKK pada pukul 2.20 petang, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan sedar namun mengalami kecederaan.
“Mereka kini sedang menerima rawatan dan berada di Zon Kritikal Hospital Shah Alam untuk pemantauan lanjut oleh pasukan perubatan.
“Sehubungan itu, mohon sama-sama kita mendoakan keselamatan mereka. Semoga Allah SWT mudahkan semua urusan, direzekikan keselamatan, dan kesembuhan, amin,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan dua wanita yang terselamat dalam insiden tersebut merupakan pensyarah UiTM.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan semasa kejadian mereka menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Xpander.
Nur Shahidah mengalami luka di di bahagian kepala dan muka manakala Shareena cedera di bahagian pinggang. – KOSMO! ONLINE














