DALAM era Revolusi Industri 4.0, penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin meluas dalam sektor pembuatan, khususnya melalui pengenalan kamera AI di kilang.
Berbeza dengan kamera pengawasan tradisional yang hanya merakam visual untuk tontonan semula, kamera AI dilengkapi algoritma pembelajaran mendalam (deep learning) yang membolehkan sistem menganalisis imej secara masa nyata, mengenal pasti corak serta mengesan anomali tanpa campur tangan manusia secara langsung.
Teknologi ini sekali gus mentransformasikan cara operasi kilang dijalankan dengan lebih cekap, selamat dan berdaya saing.
Menurut Pengarah Penyelidikan di IndoAI Technologies P Ltd, Vivek Gujar, dalam artikel di portal indo.ai, salah satu kelebihan utama kamera AI ialah kemampuannya meningkatkan tahap keselamatan di bahagian pengeluaran.
“Dalam persekitaran industri yang kompleks dan berisiko tinggi, kamera AI boleh mengesan pekerja yang tidak memakai peralatan perlindungan diri (PPE), mengenal pasti pergerakan tidak selamat berhampiran mesin berat serta memantau interaksi antara manusia dan robot industri.
“Amaran boleh dihantar secara automatik kepada penyelia untuk tindakan segera, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan,” katanya.
Tambahnya, pendekatan pencegahan ini bukan sahaja melindungi pekerja, malah membantu syarikat mengurangkan kos berkaitan kemalangan dan gangguan operasi.

Selain keselamatan, kamera AI turut memainkan peranan penting dalam kawalan kualiti produk. Dalam sistem tradisional, pemeriksaan kualiti banyak bergantung kepada tenaga kerja manusia yang terdedah kepada keletihan dan kesilapan.
Dengan kamera AI, setiap produk di barisan pemasangan boleh diperiksa secara automatik berdasarkan parameter visual yang telah dipelajari oleh sistem.
Kata Vivek, kamera ini mampu mengesan kecacatan kecil seperti retakan halus, susunan komponen yang tidak tepat atau ketidaksempurnaan permukaan yang sukar dilihat oleh mata manusia.
“Pengesanan awal membolehkan produk cacat disingkirkan segera sebelum sampai ke peringkat seterusnya, sekali gus mengurangkan pembaziran bahan dan meningkatkan kepuasan pelanggan.
“Dari sudut kecekapan operasi, kamera AI memberikan nilai tambah melalui analisis data berterusan. Sistem ini boleh mengenal pasti bottleneck atau kelemahan dalam aliran kerja yang sebelum ini tidak disedari,” ujarnya.
Kongsinya lagi, data masa nyata membantu pihak pengurusan membuat keputusan lebih pantas dan tepat, termasuk dalam aspek penyelenggaraan mesin.
Dengan integrasi kepada sistem digital lain seperti platform pengurusan aset atau ERP, kamera AI menyumbang kepada pelaksanaan penyelenggaraan prediktif iaitu meramalkan kerosakan sebelum ia berlaku.
Ini membantu mengurangkan masa henti tidak dirancang dan memastikan pengeluaran berjalan lancar.

Jelasnya lagi, bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, beberapa langkah perlu diberi perhatian.
Antaranya ialah mengenal pasti kawasan kritikal yang memerlukan pemantauan, memilih perkakasan yang sesuai dengan persekitaran kilang serta memastikan integrasi lancar dengan sistem sedia ada.
“Latihan kepada kakitangan juga penting agar mereka memahami fungsi sistem dan dapat bertindak balas dengan betul terhadap amaran yang dihasilkan.
“Ujian rintis sebelum pelaksanaan penuh boleh membantu menilai keberkesanan sistem serta menyesuaikannya dengan keperluan operasi sebenar,” kongsinya.
Ujarnya lagi, kamera AI bukan sekadar alat pengawasan tetapi komponen penting dalam pembentukan kilang pintar.
Dengan keupayaan menganalisis, mengesan dan memberi maklum balas secara automatik, teknologi ini merevolusikan pengeluaran moden ke arah operasi yang lebih selamat, cekap dan berkualiti tinggi.















