fbpx
Gambar hiasan

Lebih 8.1 juta rakyat Malaysia tebus Sara dalam lima hari 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALIK PULAU – Kira-kira 8.1 juta rakyat Malaysia sudah menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) setakat Jumaat lalu dengan perbelanjaan mencecah hampir RM780 juta.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan Sara disambut baik oleh semua penerima tanpa mengira pendapatan.

“Saya lihat data sehingga Jumaat lalu, Sara untuk semua yang kerajaan beri RM100, penerimaannya amat baik sekali. Kira-kira 8.1 juta orang sudah menebus Sara dengan perbelanjaan hampir RM780 juta.

“Jadi kalau kita tengok pendekatan yang diambil adalah dengan memberi peluang kepada semua untuk menikmati Sara. Kita juga telah memperluaskan kategori barangan yang boleh dibeli seperti barangan sejuk beku,” katanya ketika ditemui pada sesi turun Kampung Angkat Madani di Pulau Betong di sini, hari ini.

Amir Hamzah (dua dari kiri) menaiki bot ketika sesi turun padang di Kampung Angkat Madani Pulau Betong, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!

Amir Hamzah berkata, lebihan peruntukan Sara yang tidak digunakan akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui program bantuan kepada golongan rentan.

“Mengikut pendekatan kerajaan, kita bagi Sara untuk semua, tetapi mereka yang mungkin ada kemampuan sendiri, mereka tidak pakai (tebus) Sara. Tahun lalu saya tak pakai (tidak guna Sara), jadi lebihan itu kita pulangkan kepada rakyat.

“Seperti saya umumkan dalam Parlimen tempoh hari, sebanyak RM150 juta dipulangkan untuk program khusus golongan rentan termasuklah orang kurang upaya (OKU) selain untuk membeli peralatan peranti perubatan bagi mereka yang ada klinik penyakit kronik,” ujarnya.

Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan seramai 22 juta pemegang MyKad berusia 18 tahun dan ke atas boleh menebus bantuan Sara bernilai RM100 secara one-off bermula pada 9 Februari lalu.

Kementerian Kewangan berkata, inisiatif di bawah Kerajaan Madani itu dilaksanakan sebagai usaha berterusan bagi meringankan kos sara hidup rakyat selain memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN