BATU PAHAT – Hanya imam dan pelajar tahfiz yang diberikan tauliah oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang dibenar untuk menjadi imam solat tarawih sepanjang Ramadan di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, setakat ini tiada permohonan dibuat oleh mana-mana masjid atau surau di Johor untuk mendapatkan khidmat imam luar sama ada dari negeri-negeri lain atau luar negara.
Katanya, bagi surau atau masjid yang mahu mendapatkan khidmat pelajar tahfiz sebagai imam, mereka masih dibenarkan membuat permohonan sehingga esok sebelum cuti Tahun Baharu Cina bermula pada Selasa.
“Tidak perlu mendapatkan khidmat imam dari luar kerana imam sedia ada selain pelajar tahfiz berkelayakan sudah memenuhi kriteria bacaan yang sempurna untuk memimpin solat tarawih. Pelajar tahfiz yang dipilih menjadi imam juga perlu mempunyai kebenaran khas daripada JAINJ,” katanya.
Mohd Fared berkata demikian ketika ditemui pada Program Budi Afri-Komoditi yang dirasmikan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Parit Sulong, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Fared mengingatkan golongan peniaga yang menjual makanan sepanjang Ramadan supaya mematuhi ketetapan yang ditetapkan bermula pukul 3 petang. – KOSMO! ONLINE














