BOLOGNA – Ducati mengesahkan akan terus menggunakan enjin 2024 bagi mengharungi perlumbaan musim ini sebelum peraturan teknikal baharu diperkenalkan pada 2027.
Langkah strategik itu diambil memandangkan prestasi enjin Desmosedici ketika ini masih mendominasi saingan selain faktor pembekuan pembangunan enjin bagi musim 2026 yang dikenakan terhadap semua pengeluar kecuali Yamaha.
Jurucakap Ducati menjelaskan, perubahan yang dilakukan terhadap jentera GP25 dan GP26 hanyalah melibatkan 10 peratus komponen luaran demi meningkatkan aspek ketahanan, manakala struktur dalaman enjin kekal sama.
“Enjin bagi musim ini mempunyai persamaan melebihi 90 peratus berbanding model tahun lalu dan dua tahun sebelumnya. Perubahan hanya melibatkan material komponen tertentu bagi memastikan ketahanan jentera lebih terjamin,” jelas kenyataan tersebut.
Keputusan itu juga dikaitkan dengan persediaan Ducati untuk menghadapi fasa perubahan 2027 yang akan menyaksikan penggunaan enjin 850cc.
Bagi Ducati, membina enjin 1,000cc yang baharu dianggap tidak ekonomik memandangkan tempoh penggunaannya yang singkat.
Dalam masa sama, pendekatan itu membolehkan pasukan teknikal diketuai Gigi Dall’Igna memberi tumpuan lebih mendalam terhadap aspek aerodinamik dan casis yang kini menjadi faktor perbezaan pasukan musim 2026. – AGENSI














