fbpx
NORRIS mempunyai pandangan berbeza terhadap peraturan baharu saingan F1 musim 2026. - AFP

F1: Norris suruh Verstappen bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAKHIR – Juara dunia Formula Satu (F1), Lando Norris menghantar sindiran sinis kepada Max Verstappen dengan menyatakan pemandu Red Bull itu perlu bersara sekiranya tidak berpuas hati dengan kualiti jentera generasi baharu bagi musim 2026.

Verstappen baru-baru ini mengecam hebat peraturan teknikal baharu dengan melabelkan jentera 2026 sebagai bermasalah serta menyifatkan peraturan tersebut sebagai anti perlumbaan.

Norris yang memacu jentera McLaren, menegaskan perubahan adalah lumrah dalam kancah F1 dan para pelumba tidak seharusnya merungut kerana mereka menerima imbuhan lumayan.

“Jika dia (Verstappen) mahu bersara, boleh berbuat demikian. F1 sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Kadangkala jentera menyeronokkan untuk dipandu dan ada ketikanya tidak.

“Kita menerima bayaran yang sangat tinggi untuk memandu, jadi pada akhirnya anda tidak boleh merungut.

“Mana-mana pelumba boleh memilih untuk melakukan perkara lain. Tiada pelumba dipaksa untuk berada di sini,” kata Norris ketika menjalani sesi ujian di Bahrain kelmarin.

Sebelum ini, Verstappen memberi bayangan untuk meninggalkan sukan berkenaan sekiranya tidak lagi menikmati keseronokan memandu jentera baharu dianggapnya terlalu bergantung kepada pengurusan tenaga elektrik yang kompleks.

Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton turut meluahkan kekecewaan dengan mendakwa jentera 2026 lebih perlahan berbanding jentera saingan Formula 2 (F2).

Bagaimanapun, Norris mempunyai perspektif berbeza dengan menganggap peraturan baharu itu sebagai satu cabaran teknikal yang menarik untuk diterokai oleh jurutera dan pelumba.

“Saya masih berpeluang memandu jentera, mengelilingi dunia dan menikmati keseronokan tersebut. Oleh itu, tiada apa yang perlu dikesalkan,” tambahnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN