BENTONG – Dipercayai akibat tidak mahu merokok seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah berasrama di sini dicucuh dengan puntung rokok di bahagian dada oleh seorang pelajar tingkatan lima di asrama sekolah berkenaan.
Akibat kejadian mangsa yang berusia 13 tahun mengalami kecederaan akibat melecur dan dibawa ke Hospital Bentong bagi menerima rawatan lanjut.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, susulan aduan yang dibuat mangsa semalam polis telah menahan suspek berkenaan di asrama petang semalam untuk tindakan lanjut.
“Pelajar berkenaan masih ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa enggan menghisap rokok meskipun dipaksa oleh suspek menyebabkan suspek bertindak mencucuh puntung rokok,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang mendapat rawatan di Hospital Bentong tidak mengalami kecederaan serius.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati hanya seorang suspek terlibat dalam kejadian itu.- KOSMO! ONLINE














