PUTRAJAYA – Selepas 21 hari menjalani hukuman penjara, pendakwah selebriti Da’i Syed yang disabitkan atas kesalahan merogol ‘dibebaskan sementara’ oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Ia selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Azmi Ariffin secara sebulat suara membenarkan permohonan Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 31, untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak dan membaca penghujahan bertulis, kami mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon ini dilepaskan atas jaminan sehingga rayuan pemohon (sabitan dan hukuman) di Mahkamah Rayuan diputuskan.
“Pemohon dilepaskan dengan jaminan berjumlah RM40,000 dengan dua penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam antara 1 dan 5 haribulan setiap bulan bermula Mac ini,” katanya.
Sejurus selesai prosiding, isteri Da’i Syed, Hana Ismail, 40, memeluk suaminya.
Terdahulu Hakim Azmi dalam berkata, antara alasan Mahkamah Rayuan membenarkan penggantungan perlaksanaan hukuman itu kerana pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan sama ada di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Selain itu tiada keterangan yang menunjukkan pemohon pernah melarikan diri atau menghilangkan diri daripada menghadiri prosiding. Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Da’i Syed selaku pemohon diwakili peguam M.Athimulan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini bertindak sebagai responden.
Pada 23 Januari lalu, Da’i Syed diarah ke Penjara Kajang serta-merta selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














