fbpx
Ahmad Khusairi ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Bengkel Kewartawanan: Memahami Peranan SPRM Dalam Usaha Memerangi Rasuah, di Genting Highland hari ini.

Ejen, orang tengah ambil RM5,000, pegawai dapat RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan ejen dan orang tengah meraih keuntungan lebih besar berbanding pegawai atau penguat kuasa dalam rangkaian rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, perkara itu mendorong pihaknya untuk mengubah pendekatan terhadap operasi penguatkuasaan membabitkan gejala rasuah.

“Sebagai contoh, pekerja asing yang disenarai hitam dan mahu masuk semula ke Malaysia, ejen dipercayai mengenakan bayaran sehingga RM6,000 bagi setiap individu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM5,000 dikaut oleh orang tengah, manakala RM1,000 disalurkan kepada pegawai terlibat. Siapa yang jadi kaya? Ejen,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Kewartawanan: Memahami Peranan SPRM Dalam Usaha Memerangi Rasuah, di Genting Highlands di sini hari ini.

Menurut Ahmad Khusairi, pihaknya kini tidak boleh lagi hanya menumpukan kepada penahanan pegawai atau penguat kuasa sekiranya mahu membanteras rasuah secara menyeluruh.

“Mulai hari ini, saya tidak mahu lagi asyik tangkap pegawai imigresen. Sebaliknya, saya mahu tangkap ejen, syarikat dan individu yang membawa masuk pekerja asing ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kes melibatkan sindiket kemasukan migran jelas menunjukkan bagaimana orang tengah memanipulasi sistem dan meraih keuntungan tidak seimbang, sedangkan penjawat awam sering dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Beliau turut mendedahkan corak sama dikesan dalam agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), apabila ‘runner’ bertindak sebagai perantara antara pengusaha pengangkutan dan pegawai penguat kuasa.

“Sebelum ini kita ambil tindakan terhadap JPJ, kita ambil tindakan terhadap syarikat pengangkutan. Tetapi orang tengah ialah ‘runner’. Percayalah, SPRM akan memberikan tumpuan terhadap mereka (orang tengah) dan akan bertindak tegas,” ujarnya.

Tegasnya, oleh itu pihak SPRM akan mengambil pendekatan kewangan yang jauh lebih agresif terhadap golongan perantara pada masa akan datang.

“Kali ini, jika kita bertindak, kita akan pergi (siasat) habis-habisan termasuk memastikan mereka muflis dan tidak lagi boleh menjalankan perniagaan di negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN