fbpx
ZII JIA

BAM tunggu keputusan Zii Jia, DinFei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) kini menanti keputusan pemain profesional, Lee Zii Jia serta beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sama ada bersetuju menyertai skuad kebangsaan pada kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Lee Chong Wei mengesahkan pihaknya sudah menghantar jemputan rasmi kepada pemain-pemain itu bagi menyertai kem latihan pusat di Bukit Kiara sebelum menghadapi kejohanan dari 24 April hingga 3 Mei nanti.

Langkah itu diambil bagi memastikan skuad negara tampil dengan barisan terkuat dalam misi menamatkan kemarau 34 tahun Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1992.

Menurut Chong Wei, keserasian dan semangat berpasukan menjadi faktor utama tiga bintang profesional berkenaan dipelawa berlatih lebih awal bersama pemain naungan badan induk itu.

“Kita sudah hantar emel jemputan kepada Zii Jia dan juga pemain profesional lain termasuk Izzuddin dan Sze Fei. Sekarang cuma tunggu jawapan daripada pihak pengurusan mereka.

“Ini bukan soal individu atau BAM atau pemain profesional. Ini soal bermain demi negara. Kita perlukan semangat berpasukan yang kuat.

“Kita mahu mereka berlatih bersama untuk membina keserasian sebelum berangkat ke kem latihan pusat di luar negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis lawatan Penaung BAM, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Mengulas lanjut, Chong Wei berkata, skuad negara akan berlepas lebih awal untuk kem latihan intensif selama 10 hari di Denmark selepas tamat Kejohanan Badminton Asia 2026.

“Perancangan ini bermula pada Disember lalu dan kami merancang membawa pasukan berlatih di Denmark selama 10 hari bagi menyesuaikan diri dengan cuaca dan keadaan di sana.

“Sasaran tetap sama mahu bergelar juara. Jika semua pemain dapat berikan komitmen dan disiplin tinggi, saya percaya peluang Malaysia tahun ini cukup cerah,” katanya.

Selain Zii Jia dan Izzuddin-Sze Fei yang terkenal dengan gelaran DinFei, BAM juga sedang menunggu maklum balas daripada seorang lagi perseorangan profesional negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin bagi memperkuat cabaran Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN