SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dibenarkan menerima pasport sementara bagi menunaikan ibadah haji pada Mei depan.
Peguam Muhammad Zaim Rosli yang mewakili Nasiruddin Mohd. Ali, 67, berkata, kebenaran itu diberikan Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Fatimah Zahari selepas permohonan dibuat pihaknya tidak mendapat bantahan daripada pihak pendakwaan.
“Dokumen perjalanan itu telah diperoleh dan kita teruskan dengan permohonan untuk mendapatkan visa bermula 12 Februari hingga 30 Mac ini.
“Mahkamah akan mengembalikan pasport sebelum anak guam meneruskan perjalanan ke tanah suci pada 4 Mei depan,” katanya ketika ditemui di lobi mahkamah di sini hari ini.
Tambah Muhammad Zaim, anak guamnya akan mengembalikan pasport kepada mahkamah pada atau sebelum 15 Jun iaitu tiga hari selepas kepulangannya di negara ini.
Kosmo! pada 29 Januari lalu melaporkan Nasiruddin dan tiga bekas akauntannya dikenakan 331 pertuduhan penggubahan wang haram bernilai lebih RM38.1 juta di Mahkamah Sesyen, di sini.














