PUTRAJAYA- Bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka dan isterinya direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3 juta.
Perintah reman sehingga 16 Februari terhadap pasangan tersebut dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Semalam, pihak berkuasa itu menahan kedua-dua suspek selepas disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan membantu sebuah syarikat dilantik konsesi projek penambakan laut di Melaka.
Penahanan ke atas pasangan suami isteri tersebut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, suami isteri itu ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.
Siasatan awal mendapati suspek yang bergelar Datuk Wira dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Februari dan November 2021. Suspek disyaki menggunakan wang rasuah tersebut untuk membeli sebuah kondominium di Lembah Klang.
Terdahulu, pasangan itu tiba di pekarangan Mahkamah Putrajaya pada pukul 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM bagi proses permohonan reman. -KOSMO! ONLINE














