MELAKA – Suasana di bilik pembedahan Hospital Pantai di sini pagi tadi bertukar riuh dan penuh keterujaan apabila seorang bayi lelaki dilahirkan dengan berat 4.91 kilogram (kg).
Bayi tersebut selamat dilahirkan oleh ibunya, Nur Hafizah Othman, 35, menerusi kaedah pembedahan Caesarean (Czer) pada pukul 9.16 pagi, dengan ditemani suami, Nor Irfan Azizi Nordin, 36.
Menurut Nor Irfan, mereka sekeluarga sudah menjangkakan cahaya mata ketiga itu akan lahir dengan berat 4 kilogram ke atas, namun tetap terkejut apabila dimaklumkan berat sebenar hampir mencecah 5kg.
“Sebelum ini anak pertama kami, Noah Naufal dilahirkan seberat 4.5kg, manakala anak kedua, Noah Ayden pula 4.2kg. Jadi, kami jangkakan bayi ketiga ini dalam lingkungan itu sahaja.
“Tiba-tiba suasana di bilik pembedahan tadi bertukar kecoh, semua petugas di hospital berlari-lari dalam keadaan penuh teruja nak tengok anak kami, rupanya kerana saiz dan beratnya yang luar biasa iaitu 4.91kg,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Dia bagaimanapun bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kedua-dua bayi dan isterinya berada dalam keadaan sihat.
“Sehingga kini saya dan isteri masih terkejut dan teruja dengan berat bayi kami, namun syukur Alhamdulillah semuanya selamat dan berada dalam keadaan sihat.
“Kami masih belum memutuskan nama untuk bayi tetapi nama pertama atau di depan adalah Noah, sama seperti abang-abangnya yang lain,” ujarnya.
Dia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas Hospital Pantai yang membantu dalam prosedur kelahiran dan berkongsi kegembiraan sekeluarga.
Untuk rekod, sebelum ini media melaporkan seorang bayi lelaki dilahirkan seberat 5.6kg pada 2006 di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, manakala pada 2024 seorang bayi perempuan dilahirkan seberat 4.8kg di Hospital Ipoh, Perak. – KOSMO! ONLINE














