BATU GAJAH – Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Khas Kanak-kanak atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 16 tahun, Disember tahun lalu.
Tertuduh berusia 15 tahun itu bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.
Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa merogol mangsa di Taman Tuntung, Bota dalam daerah Perak Tengah pada pukul 12 tengah hari, 24 Disember 2025.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Ameerul Nazhif Wan Zulfikri, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Canice Chan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM1,400 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak.
Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














