KUALA NERUS – UMNO membuka pintu kepada sesiapa sahaja termasuk Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikaitkan kemungkinan dipecat oleh partinya untuk menyertai Rumah Bangsa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Rumah Bangsa terbuka untuk sesiapa sahaja berdasarkan objektifnya menyatukan orang Melayu.
“Keputusan Perhimpunan Agung UMNO untuk menubuhkan Rumah Bangsa mempunyai tujuan bersurat dan bersirat.
“Sama ada mereka mahu mengambil langkah-langkah politik, itu adalah hak mereka,” katanya ketika ditemui selepas merumuskan Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Sebelum ini, Hamzah dikatakan bakal dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan parti tersebut serta serangan terhadap Muhyiddin.
Berdasarkan surat bertarikh 6 Februari ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd. Radzi Manan yang didakwa sebagai notis panggilan kali kedua, ia berikutan empat aduan disiplin secara bertulis telah dikemukakan terhadap Hamzah masing-masing pada 30 September 2025 dan 5 Februari lalu.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut merupakan salah seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018. – KOSMO! ONLINE














