JOHOR BAHRU – Operasi pembenihan awan dijadualkan pada 11, 12 dan 15 Februari ini di Empangan Machap, Layang dan Ulu Sungai Sedili Kecil sebagai usaha meningkatkan peluang hujan di kawasan tadahan air.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, operasi tersebut melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Katanya, ketika ini paras air di Sungai Benut berada pada paras minimum, manakala Empangan Machap juga berada di bawah paras operasi selamat menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus kapasiti.
“Bagi mengurangkan kesan kepada rakyat berikutan dengan fenomena cuaca kering berpanjangan, Kerajaan Negeri telah dan sedang menggerakkan pelbagai inisiatif bagi mengatasi masalah tersebut.
“Antara pengukuhan operasi LRA Yong Peng menyalurkan tambahan 4 Juta Liter Sehari (JLH) bagi membantu menstabilkan bekalan. Pemasangan sistem pontoon di Empangan Machap sedang dilaksanakan untuk menyalurkan tambahan sehingga 20 JLH ke Sungai Benut bagi menyokong operasi LRA Simpang Renggam,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, tambahan mobilisasi lori tangki air digerakkan dan sedang beroperasi di Kluang sebanyak 28 lori dan Pontian dengan tambahan 14 lori tangka dari luar Johor dijangka sampai pada hari ini.
Selain itu, bantuan negeri lain turut menyumbang 15 lori tangki tambahan khusus untuk kawasan Pontian dan Simpang Renggam.
Beliau berkata, turut ditempatkan 41 tangki air statik yang bagi membantu penduduk yang terjejas, sembilan lokasi di Kluang dan 31 lokasi di Pontian bagi memastikan akses air terus kepada kumpulan berkeperluan.-KOSMO! ONLINE














