LONDON – Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff mendakwa George Russell layak memegang status pilihan utama merangkul gelaran dunia Formula Satu (F1) 2026, namun mengakui pasukannya masih perlu membuktikan keupayaan sebenar jentera.
Perubahan besar peraturan teknikal F1 dijangka memberi cabaran utama dan Mercedes dilihat sebagai pasukan paling bersedia setakat ini bersama-sama McLaren, Red Bull dan Ferrari.
Mercedes mencatat prestasi memberangsangkan dalam sesi ujian awal di Barcelona minggu lalu, sekali gus meletakkan Russell sebagai calon pilihan untuk bergelar juara dunia.
“Sesuatu yang menggembirakan apabila pelumba anda menjadi pilihan utama, dan saya rasa dia (Russell) sememangnya layak kerana dia adalah antara yang terbaik di litar ketika ini.
“Dia telah menunjukkan kepada kami di mana tahap prestasi jentera dan sumbangannya sangat luar biasa. Namun, perlu diingat kemenangan adalah hasil gandingan pelumba dan jentera terbaik.
“Kami belum membuktikan sepenuhnya bahawa pakej jentera kami sudah cukup ampuh,” katanya.
Wolff tetap berwaspada memandangkan ujian di Barcelona tidak sama dengan cabaran sebenar bakal dihadapi di Bahrain terutama beraksi di bawah cuaca panas dengan permukaan litar lebih kasar.
Dalam pada itu, Wolff turut mengulas mengenai perkembangan pemandu muda, Kimi Antonelli yang bakal memasuki musim keduanya dalam kancah F1.
“Dia kini memasuki musim kedua dan sudah mengenali semua litar serta tuntutan dalam dunia F1. Namun, tidak adil untuk mengharapkan dia berada di depan George sepanjang masa. Saya yakin Kimi akan menunjukkan satu lagi peningkatan besar tahun ini,” jelas Wolff. – AGENSI














