LIVERPOOL – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola enggan terlalu mendabik dada selepas pasukannya bangkit meraih kemenangan penting 2-1 ke atas Liverpool di Anfield awal pagi semalam.
Sebaliknya, pengurus dari Sepanyol itu menegaskan semua pemain memiliki tanggungjawab mandatori untuk memperkukuhkan kualiti bagi terus memberikan tekanan kepada Arsenal yang kini memimpin carta liga dengan kelebihan enam mata.
“Sukar untuk kami fikirkan Arsenal akan kalah tiga perlawanan tetapi dalam bola sepak, tiada siapa yang tahu. Peningkatan yang sedikit tidak memadai untuk bersaing dengan Arsenal, jadi kami kena lakukan lebih lagi.
“Kami akan menentang mereka di tempat sendiri dan kami pastinya perlu tewaskan mereka. Jika jurang 10 atau 11 mata, ia pasti sukar tetapi kami kena manfaatkan setiap peluang yang ada.
“Kami kena tewaskan mereka, jika Arsenal ‘tergelincir’ dalam baki perlawanan selepas ini, kami kena ambil kesempatan itu,” katanya.
Aksi kali ini menyajikan permainan penuh drama yang menyaksikan penjaring gol Liverpool, Dominik Szoboszlai dilayangkan kad merah, manakala City memperoleh dua gol lewat daripada Bernardo Silva dan Erling Haaland.
“Kami memenangi perlawanan dan sekarang Szoboszlai tidak dapat bermain menentang Sunderland. Sepanjang perlawanan, banyak berlaku tarik-menarik, (kalau boleh) berikan saya kemenangan 3-1, kami gembira dan dia pun boleh bermain,” tambah Guardiola.
Sebagai rekod, City ketika ini kekal di tangga kedua, namun berjaya merapatkan jurang dengan Arsenal kepada enam mata dalam saingan liga yang masih panjang berbaki 13 perlawanan hingga Mei depan. – AGENSI














