NILAI – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7.50, RM12 dan RM20 pada tahun ini.
Timbalan Pengerusi MAINS, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Shahrom Nordin berkata, penetapan tiga kadar harga ini adalah berdasarkan kepada kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Negeri Sembilan pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.751 kilogram.
“Bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan perkenan Dato Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin ketetapan Pewartaan Kadar Zakat Fitrah bagi tahun 1447H/2026 Masihi adalah RM7.50 bagi masyarakat Islam yang menjadikan makanan hariannya dari jenis Super Special Tempatan SST 5 peratus.
“Sementara, kadar RM12 bagi masyarakat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada jenis beras Super Import, Super Wangi dan Herba Ponni manakala kadar RM20 bagi masyarakat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada jenis beras Super Basmathi,”katanya kepada pemberita dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan 2026 di Masjid Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut meletakkan keyakinan tinggi terhadap Aplikasi Mobile MyAmil Fitrah yang dibangunkan tahun lepas sebagai salah satu kaedah pembayaran, mampu memperkasakan lagi sistem kutipan zakat fitrah di negeri ini.- KOSMO! ONLINE














