fbpx
Michelle mencuri tumpuan pentas perfileman dunia apabila bakal muncul dalam filem pendek terbaharu berjudul Sandiwara, arahan pengarah tersohor Hollywood yang juga pemenang Oscar, Sean Baker.

Michelle Yeoh berlakon filem ‘Melayu’, shooting di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mencuri tumpuan pentas perfileman dunia apabila pemenang Oscar itu bakal muncul dalam filem pendek terbaharu berjudul Sandiwara, arahan pengarah tersohor Hollywood, Sean Baker.

Menariknya, penggambaran dijalankan sepenuhnya di Pulau Pinang dengan latar pasar malam serta tempat sarat penjaja yang sibuk meniaga menggambarkan denyut nadi kehidupan masyarakat Malaysia.

Menurut sebuah laporan, Sandiwara dijadualkan membuat tayangan perdana pada Festival Filem Antarabangsa Berlin (Berlinale) 13 Februari ini, sekali gus menandakan kolaborasi istimewa antara dua figura besar industri perfileman global.

Dalam naskhah terbabit, anak jati Ipoh Perak itu menggalas cabaran besar apabila membawakan lima watak berbeza, masing-masing membawa kisah serta sisi jarang dipaparkan tentang budaya tempatan.

Malah, judul filem tersebut diambil daripada perkataan Melayu membawa maksud drama atau persembahan teater, selari dengan struktur penceritaan berlapis.

Filem berkenaan diterbitkan menerusi program Self-Portrait Residency, satu inisiatif kreatif diperkenalkan oleh jenama fesyen berpangkalan di London sejak tahun lalu, bertujuan membuka ruang kebebasan berkarya kepada penggiat seni merentas disiplin.

Menerusi projek ini, Sean kembali ke akar pembikinan filem awalnya dengan menggunakan teknik penggambaran sepenuhnya menerusi iPhone, pendekatan ikonik pernah melonjakkan reputasinya menerusi karya seperti Tangerine dan Snowbird.

Ramai dalam kalangan pemerhati filem menyifatkan Sandiwara sebagai sebuah karya imersif memfokuskan penceritaan sinematik tulen, bukan sekadar visual bergaya, malah menyelami lapisan budaya tempatan secara jujur dan berani.

Tayangan khas Sandiwara di Berlin bakal disusuli sesi perbincangan secara langsung bersama Baker dan Yeoh, membuka ruang kepada penonton memahami proses kreatif serta visi di sebalik pembikinan filem tersebut.

Durasi rasmi filem dijangka sekitar 30 minit, namun hanya akan dimuktamadkan selepas tayangan perdana.

Kemunculan bintang Wicked: For Good itu di Berlinale kali ini turut mencatat detik bersejarah dalam kerjayanya apabila Baker dijadualkan menyampaikan Anugerah Golden Bear Kehormat bagi Pencapaian Sepanjang Hayat kepada aktres tersebut pada majlis pembukaan festival, 12 Februari ini.

Festival Filem Antarabangsa Berlin 2026 berlangsung dari 12 hingga 22 Februari, menghimpunkan pelbagai judul antarabangsa merangkumi genre seram, sains fiksyen, drama serta filem berteras muzik, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara festival perfileman paling berprestij dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI