KUALA NERUS – Sebanyak 97 peratus peruntukan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah keseluruhan lebih RM200 juta telah berjaya disalurkan kepada keluarga mangsa terjejas banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bermula November lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, baki tiga peratus yang masih tertunggak bakal menerima BWI berjumlah RM1,000 setelah proses dokumentasi selesai pada masa terdekat.
“Pembayaran (BWI) telah dilakukan 97 peratus. Baki tiga peratus (yang belum dibayar) disebabkan dokumen mereka masih belum dikemaskini jawatan kuasa bencana di peringkat daerah. Saya jangka pembayaran (yang tertunggak) itu akan diselesaikan secepat mungkin, tidak lebih tiga bulan selepas dokumen (mangsa banjir) diperolehi,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ahmad Zahid berkata, kecekapan itu menetapi indeks prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan buat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) iaitu pembayaran BWI perlu diselesaikan sewaktu keluarga terjejas masih berada di dalam pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau yang juga Menteri KKDW berkata, ketetapan tersebut bertujuan agar keluarga terjejas dapat menggunakan BWI terbabit untuk membaiki kerosakan yang berlaku akibat banjir.
“Walaupun jumlah (RM1,000) tidak cukup namun lebih baik berbanding dahulu RM250 sebelum dipertingkat RM500 dan RM1,000.
“Ini bukan pampasan tetapi membantu (mangsa banjir),” katanya. – KOSMO! ONLINE














