PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan menjadi mangsa penderaan ibu kandung sendiri yang didera secara fizikal apabila dihentak kepala ke dinding dan ditoreh di bahagian paha.
Lebih menyayat hati, kanak-kanak itu turut ditumbuk di kedua belah mata dan patah gigi, malah turut berdepan trauma emosi pada usia muda.
Pendedahan itu dibuat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas menyelamatkan kanak-kanak itu di ibu negara baru-baru ini sebelum menempatkannya di salah sebuah institusi kebajikan di Kuala Lumpur bagi tujuan perlindungan.
Menurut pengetua institusi kebajikan tersebut, Nur Khalidah Ab. Hamid, kanak-kanak malang itu merupakan sebahagian daripada kira-kira 106 kanak-kanak lain yang diselamatkan dalam pelbagai situasi kes dan diberi pemeliharaan dan perlindungan di situ.
Katanya, rata-rata mereka yang ditempatkan di situ berusia seawal satu bulan hingga 12 tahun dengan melibatkan pelbagai kes seperti penderaan dan pengabaian termasuk oleh ibu bapa kandung.
Selain itu katanya, kanak-kanak itu diselamatkan selepas penjaga tidak mampu dan tidak berupaya memelihara mereka, persekitaran keluarga yang memberi mudarat dan bahaya kepada kanak-kanak seperti terlibat dengan dadah serta masalah mental.
“Sebagai contoh, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang baru ditempatkan di sini merupakan mangsa penderaan fizikal oleh ibu kandung sendiri.
“Kesnya agak ekstrem selepas mengalami banyak kecederaan ketika dirujuk ke sini. Kedua-dua matanya ditumbuk, kepala dihentak ke dinding, peha ditores, gigi patah dan kuku turut lebam.
“Ekoran kejadian itu, dia menjadi trauma hingga kita tidak boleh menyentuh belakangnya, walaupun ketika mahu mandi, dia akan menangis,” katanya kepada ditemui Kosmo! Ahad di institusi kebajikan tersebut baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nur Khalidah berkata, daripada jumlah kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di institusi berkenaan, kes membabitkan pengabaian ibu bapa, penjaga direkodkan paling ramai ditempatkan di situ.
“Kita ada banyak kes melibatkan pengabaian ibu bapa, penjaga seperti tidak lagi mahu menjaga anak-anak selain ada yang terlibat dadah, masalah mental dan pelbagai jenis kes antaranya penderaan seksual,” katanya.
Dalam pada itu katanya, anak-anak yang mendapat perlindungan di institusi kebajikan itu juga sentiasa diberikan perhatian penuh oleh setiap petugas selain dicurahkan kasih sayang sepenuhnya.
“Saya mahu pastikan semua anak-anak itu dalam keadaan baik dan mereka dapat apa yang diinginkan. Sebagai contoh, dalam aspek sosial kanak-kanak lain boleh tengok wayang, itu juga saya mahukan untuk mereka.
“Jadi, saya lebih utamakan kebajikan sosial dan pendidikan mereka. Selagi nyawa di kandung badan, hak mereka akan dijaga sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status keberadaan kanak-kanak di institusi kebajikan itu, beliau berkata, mereka akan dijaga sehingga usia 18 tahun sebelum diberi pelepasan kepada ibu bapa, penjaga atau orang yang layak dan sesuai.
“Kita mahu semua kanak-kanak ini dipelihara, dijaga dan dilindungi dalam suasana kekeluargaan untuk masa depan mereka walaupun hanya dengan keluarga angkat.
“Jadi, kita sedaya upaya memastikan kanak-kanak yang tiada ibu bapa, penjaga atau yang tidak berupaya menjaga mereka dengan baik, memilih dan menetapkan ibu bapa pelihara yang layak dan sesuai akan diusahakan oleh JKM.
“Bagi mereka yang ibu bapa sebagai contohnya tidak mahu menyerahkan kepada orang lain, kita akan jaga dan lindungi sehingga usia 18 tahun,” katanya.
Bagaimanapun bagi kes itu, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pelindung untuk memberikan intervensi lain bagi memastikan masa depan anak-anak itu lebih baik.
“Seperti kanak-kanak di sini, interaksi sosial mereka dengan dunia luar adalah terbatas.
“Keperluan asas, penjagaan kesihatan, penerapan nilai spiritual serta kerohanian, program dan aktiviti berjadual serta persekolahan diatur sewajarnya.
“Kita juga pastikan mereka mendapat pendidikan persekolahan supaya kanak-kanak ini boleh berdikari dan memperoleh masa depan yang lebih baik.
“Bagaimanapun, bagi kanak-kanak yang tiada dokumen ada keterbatasan mereka untuk bersekolah.
“Namun kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dilaksanakan untuk mengatasi isu berkenaan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE















