KUALA LUMPUR – Kejohanan Piala Asia Triathlon (ATC) 2026 yang berlangsung di Putrajaya hari ini dimenangi peserta Jepun, Takuto Oshima bagi kategori elit lelaki manakala Lin Xinyu dari China mengungguli saingan wanita.
Oshima yang merupakan atlet ranking ke-10 Asia menunjukkan aksi cukup tenang sepanjang perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat menerusi catatan masa 53 minit 49 saat (s) diikuti rakan senegara, Kazushi Jozuka (54:00s) dan Genta Uchida (54:02s).
Kemenangan hari ini merupakan gelaran ketiga buat Oshima dalam saingan ATC selepas dia turut melakukannya pada pusingan di Subic Bay, Filipina serta Yilan, Taiwan tahun lalu.
“Ini adalah kali pertama saya berlumba di Malaysia dan harus diakui ia merupakan negara yang hebat. Cuacanya sangat panas dan mencabar fizikal tetapi saya dapat mengharungi perlumbaan dengan baik,” kata Oshima.
Dalam kategori wanita pula, Xinyu yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Asia Hangzhou 2022 menyifatkan, keadaan cuaca yang sangat mencabar membuatkan kemenangannya itu lebih bermakna.
Dia yang juga atlet No.3 Asia menamatkan perlumbaan menerusi catatan masa 1 jam 00 minit 44 saat (s) menewaskan rakan senegara, Lu Meiyi (1’00:45s) serta peserta Jepun, Mako Hiraizumi (1’01:11s).

“Semua atlet berlumba dalam cuaca yang sama, jadi ia adil. Cuaca sangat panas dan mencabar, jadi mencatat kemenangan di Malaysia membuatkan saya rasa sangat bangga,” kata Xinyu.
Sementara itu, peserta negara, Isaac Tan turut membanggakan Malaysia apabila memenangi kategori Kejohanan Asia Tenggara (SEA) lelaki selepas menamatkan saingan di tempat ke-19 keseluruhan dengan catatan 56:14s.
“Memenangi perlumbaan di laman sendiri sangat istimewa. Saya kekal sabar dan percaya kepada pelan perlumbaan selain memberikan segala-galanya hingga ke garisan penamat,” ujar Isaac.
Kategori SEA wanita pula dimenangi peserta Indonesia, Martina Ayu Pratiwi yang melintasi garisan penamat dengan catatan masa 1’01:49s.
Sebagai rekod, ATC Putrajaya 2026 merupakan anjuran Eventure Global dengan sokongan Malaysia Triahtlon dan ia menjadi sebahagian daripada festival sukan dua hari melibatkan perlumbaan elit, junior, belia serta kumpulan umur. – KOSMO! ONLINE














