fbpx
ARMIN

Armin Zahryl pecah rekod 20 tahun di Tianjin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bintang muda olahraga negara, Armin Zahryl Abdul Latif berjaya memadam rekod kebangsaan acara 60 meter (m) lari berpagar dalam dewan yang bertahan selama 20 tahun pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia 2026 di Tianjin, China hari ini.

Pelari berusia 21 tahun itu mencatat masa 7.88 saat (s) pada pusingan saringan, sekali gus memperbaharui rekod lama 7.91s milik Mohd Faiz Mohamad yang dilakukan pada edisi 2006 di Pattaya, Thailand.

Berdasarkan keputusan rasmi pertandingan, Armin menamatkan saringan 3 di tempat ketiga di belakang pelari Jepun, Nomoto Shusei (7.71s) dan atlet tuan rumah, Chen Yuanjiang (7.74s).

Pencapaian itu cukup signifikan buat Armin yang sebelum ini secara terbuka meletakkan sasaran memadam rekod kebangsaan pada penampilan sulungnya di pentas itu, meskipun mengakui peluang untuk bersaing merebut pingat adalah tipis berikutan persaingan sengit daripada kuasa besar Asia.

Rekod baharu itu turut menamatkan penantian panjang olahraga negara acara 60m berpagar dalam dewan, selepas Faiz pernah menghadiahkan pingat gangsa pada edisi 2006, manakala Robani Hassan turut meraih tempat ketiga pada edisi 2004 di Tehran, Iran.

Prestasi di Tianjin mengukuhkan status Armin sebagai sandaran utama negara dalam acara lari berpagar, selepas meraih pingat gangsa 110m berpagar pada Sukan SEA Thailand 2025.

Atlet kelahiran Selangor itu juga memiliki catatan peribadi 13.85s dalam acara 110m berpagar, sekali gus memperlihatkan potensi besar untuk terus bersaing di peringkat lebih tinggi.

Untuk jangka panjang, Armin sebelum ini menyatakan sasaran seterusnya adalah memadam rekod kebangsaan 110m berpagar 13.67s milik Rayzamshah Wan Sofian yang dicatat di Weinheim, Jerman pada 2017, sebagai sebahagian daripada misinya membina konsistensi dan daya saing di peringkat Asia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN