KUALA LANGAT – “Tersentak mendengar jeritan ibu mangsa, saya bantu padam kebakaran, namun gagal kerana api terlalu marak.”
Itu kata Sulis Sampul, 60, jiran yang juga saksi insiden kebakaran tiga rumah yang mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Jalan Nuri, Kampung Seri Cheeding, Banting di sini, hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian dia bersama isteri dan dua anak perempuannya sedang tidur di kediamannya bersebelahan rumah mangsa, kira-kira pukul 2.30 pagi.
“Saya bagaimanapun terjaga apabila mendengar bunyi ketukan pintu oleh jiran lain memaklumkan tentang kebakaran itu. Tanpa berfikir panjang, saya bergegas keluar dan terkejut melihat ibu mangsa meminta supaya menyelamatkan anaknya di dalam rumah yang terbakar itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian.
Tambah Sulis yang 15 tahun menetap di situ, dia cuba memasuki rumah mangsa dan membantu memadamkan kebakaran itu, namun gagal.
Sementara itu, jiran yang mahu dikenali sebagai Siti, 30-an berkata, dia terkejut mendengar bunyi letupan ketika sedang makan di ruang tamu rumahnya.
Kebakaran itu mengorbankan nyawa Allahyarham Muhammad Zahir Adha Mohd. Zaid berusia tiga tahun yang ditemukan rentung di rumah sewa ibu bapanya. – KOSMO! ONLINE














