PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) menyasarkan pelancaran sebanyak 10 projek baharu yang mampu milik dan mampan, selaras dengan keperluan yang semakin berkembang dalam kalangan Keluarga Malaysia di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pahang bagi tahun ini.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, tahun 2026 dilihat sebagai penanda aras strategik buat Kumpulan dalam fasa pertumbuhan seterusnya.
“Memandang ke hadapan, LBS melihat tahun 2026 sebagai satu penanda aras, dengan perancangan untuk melancarkan 10 projek baharu di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pahang.
“Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan iltizam berterusan kami untuk menyampaikan pembangunan yang mampu milik dan mampan, selaras dengan keperluan yang semakin berkembang dalam kalangan Keluarga Malaysia, di samping menyokong aspirasi pembentukan masyarakat MADANI yang harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baharu Cina LBS baru-baru ini.
Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta kehadiran kira-kira 600 tetamu.
Pada majlis itu juga, LBS secara rasminya mengumumkan pembaharuan janji jenamanya, “Building Tomorrow Together”, yang mencerminkan visi masa hadapan kumpulan dalam membangunkan komuniti yang lestari dan berkembang kepada generasi akan datang.
Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini menandakan satu detik bersejarah buat LBS, bersempena ulang tahun ke-65 penubuhan syarikat, iaitu enam setengah dekad sejak tahun 1961.
Diasaskan oleh mendiang Datuk Seri Lim Bock Seng, LBS telah berkembang pesat dan kini muncul sebagai salah sebuah pemaju hartanah terkemuka di Malaysia. – KOSMO! ONLINE














