KOTA TINGGI – Nelayan yang dilaporkan hilang sejak 1 Februari lalu ditemui maut berhampiran boya timur perairan Singapura, hari ini.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, mayat lelaki itu ditemui pihak berkuasa republik itu pada pukul 9.47 pagi.
Jelasnya, mayat berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kehilangan nelayan, Mustaffa Hussain, 55, selepas bot gentian kaca yang dinaikinya terlibat dalam insiden pelanggaran di perairan Pengerang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan sehingga proses pengecaman mayat oleh pihak waris selesai. Keputusan penangguhan dibuat bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melaksanakan siasatan lanjut dan proses pengecaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Najib berkata, sehingga semalam, pencarian telah meliputi kawasan melebihi 60 batu nautika persegi dan operasi akan disambung semula jika mayat berkenaan disahkan bukan mangsa yang dilaporkan hilang. – KOSMO! ONLINE














