PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dengan menyeleweng dana badan itu berjumlah RM4.2 juta.
Majistret Ezrene Zakariah membenarkan lelaki itu direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.
Menurut sumber, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan pada pukul 6 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga pemilik syarikat makanan disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2022 dan 2024.
“Suspek dipercayai meluluskan dan memindahkan dana NGO berjumlah RM4.2 juta ke dalam akaun dua buah syarikat lain bagi tujuan pelaburan di mana individu-individu di dalam pengurusan persatuan dipercayai mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut,” katanya.
Sumber itu memberitahu, siasatan menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam kerana NGO tersebut merupakan pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan misi kemanusiaan di Gaza.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Datuk Norhaizam Muhammad berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














