DI sebalik tirai kemuncak program realiti keagamaan, Mualim Muda yang kian menghampiri penghujungnya, satu polemik besar kembali membuak dalam kalangan masyarakat mengenai kualiti dan integriti para graduan program dakwah televisyen.
Ketika media sosial sering kali menjadi medan penghakiman buat segelintir pendakwah selebriti yang terpalit dengan pelbagai isu sensitif dan kontroversi peribadi, timbul keraguan dalam kalangan netizen terhadap keberkesanan program realiti itu.
Fenomena ini bukan sahaja menimbulkan defisit kepercayaan, malah dikhuatiri mampu mencalarkan kesucian institusi dakwah yang selama ini dipandang tinggi masyarakat sebagai tiang seri moral negara.
Menyedari hakikat bahawa gelombang kritikan sering kali menghantam seluruh komuniti pendakwah apabila berlakunya sesuatu kesilapan, personaliti agama, Ustaz Fakhrul Radhi tampil memberikan ulasan mendalam.
Dia menegaskan bahawa masyarakat perlu mempunyai kebijaksanaan dalam membezakan antara kelemahan peribadi seseorang individu dengan sistem bimbingan agama secara menyeluruh.
“Bagi saya, itu adalah masalah individu. Jika berlaku kesilapan atau isu sensitif, itu bersifat peribadi.
“Kita tidak boleh pukul rata semua peserta atau pendakwah adalah sama. Untuk kali ini, insya-Allah saya nampak mereka betul-betul ditapis semasa uji bakat.
“Setiap minggu tindakan mereka diperhatikan, termasuk cara mereka membuat hantaran dalam media sosial. Mereka juga diajar dan dilatih bagaimana untuk berhadapan dengan masyarakat.
“Kita harap perkara sebelum ini menjadi pengajaran supaya tidak merosakkan seluruh dunia dakwah,” katanya.
Menyentuh mengenai gelaran untuk pendakwah sering menjadi sasaran kecaman apabila timbul isu, pemilik nama lengkap Mohd. Fakhrul Radhi Khamarudin, menjelaskan bahawa gelaran tersebut pada asalnya hanyalah bertujuan untuk penjenamaan program televisyen semata-mata.
“Gelaran seperti Imam Muda atau Pencetus Ummah itu sebenarnya adalah tajuk program. Ada yang terus membawa gelaran itu kerana menyertai program tersebut.
“Namun, ada juga yang selepas lama dalam industri, mereka tidak lagi menggunakan gelaran itu. Contohnya Imam Muda Asyraf, dia kini lebih dikenali sebagai Asyraf Ridzwan,” katanya.
Tambahnya, sekiranya segelintir pendakwah yang melakukan kesalahan besar, gelaran tersebut sewajarnya tidak perlu digunakannya lagi.
“Mereka perlu lebih berhati-hati. Jika berlaku perkara yang sebaliknya, memang mencalarkan industri dakwah. Gelaran itu sebenarnya penjenamaan (branding) sahaja,” tuturnya.
Pada masa sama, dia turut mengingatkan agar tidak menutup mata terhadap sumbangan besar yang diberikan ramai alumni program realiti yang kini aktif menyumbang bakti kepada masyarakat tanpa sebarang kontroversi.
“Ada rancangan yang betul-betul berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat seperti alumni-alumni yang kita bawa pada peringkat suku akhir baru-baru ini.
“Semuanya mempunyai pengikut dan memberi impak kepada masyarakat.
“Sekali lagi, netizen juga perlu bijak dan jangan pukul rata semua sama.
“Mereka kena tahu siapa yang mereka ikuti. Jika berlaku kesalahan, itu adalah individu tersebut, cuma malangnya gelaran itu akan terpalit.
“Tugas produksi, saluran televisyen dan Mursyid adalah untuk sentiasa menegur supaya mereka lebih berhati-hati dalam emosi hantaran dan ujian kejutan budaya. Mereka harus sedar bahawa mereka akan menjadi figura awam,” ujarnya.














