PETALING JAYA – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa dilantik sebagai Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi BBC, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelantikan Mohd. Isam selepas dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa BBC yang dihadiri oleh Ketua Whip bagi setiap parti dalam kerajaan serta Ahli-Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Kerajaan Madani.
“Saya merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan ini dan yakin beliau akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh penyelarasan organisasi BBC serta menyokong gerak kerja Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Madani secara lebih tersusun dan berkesan.
“BBC komited untuk terus menjadi wadah penyelarasan, sokongan dasar dan komunikasi strategik antara Ahli Parlimen kerajaan bagi memastikan kestabilan politik serta agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, dalam mesyuarat itu antara dibincangkan meliputi pengukuhan peranan BBC sebagai rakan strategik kepada Kerajaan Madani.
Katanya, ini dalam memastikan agenda reformasi, kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terus diperkasa melalui peranan Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan.
“Turut diberi perhatian ialah perancangan strategi dalam mendepani Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk usaha memperkukuh naratif dasar kerajaan, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memperkemas kesiapsiagaan jentera Ahli Parlimen kerajaan di lapangan.
“Mesyuarat turut meneliti pelaksanaan program-program turun padang bersama rakyat serta program pengukuhan aktiviti antara ahli BBC.
“Ini mengeratkan lagi ukhuwah dan kerjasama rentas parti dalam Kerajaan Madani, termasuk pelaksanaan program libat urus secara bersepadu melibatkan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














