GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengesahkan salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang ibu tunggal di Flat Sri Murni, Butterworth, petang semalam positif dadah jenis ketamin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, ini susulan penahanan ketiga-tiga suspek berusia antara 38 hingga 45 tahun itu yang dilakukan dalam tempoh 24 jam sebaik laporan kejadian diterima.
“Ketiga-tiga suspek diberkas di kawasan Bukit Mertajam dan Kubang Semang. Salah seorang yang ditangkap juga disahkan positif dadah jenis ketamin.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 11 Februari nanti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut berhubung kejadian berlaku, katanya, anggota polis dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara telah menerima panggilan telefon daripada orang awam yang mengatakan terdapat seorang wanita ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam rumah, kira-kira pukul 1.40 tengah hari, semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang wanita India berumur dalam lingkungan 40-an dan bekerja sebagai pemandu van sekolah.
“Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik tidur dengan kesan luka kelar pada lehernya dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam,” jelasnya.
Justeru, beliau menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Kes, Asisten Superintenden Hasryman Osman ditalian 04-576 2222 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang dipercayai maut dibunuh di kediamannya di tingkat satu, Flat Sri Murni, Sungai Dua di sini, semalam.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek itu dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal di Mahkamah Majistret Butterworth, tengah hari tadi. -KOSMO! ONLINE














