Geng budak sekolah dengan tangkapan masing-masing di sebuah rumah jeti dinamakan Istana Sangkut di Sungai Sepang Besar, Bagan Lalang.

Riang ria belajar memancing di ‘Istana Sangkut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA masa sekarang, semua amat mudah untuk belajar memancing, terutama dengan bantuan Artificial Intelligence (AI), info tentang hobi hanyir ini di hujung jari sahaja dengan pelbagai tip dan teknik boleh didapati secara online sebelum turun ke lapangan yang sebenar sama ada di air tawar atau air masin.

Pada zaman sekarang, aktiviti memancing sudah menjadi bukan sekadar hobi, malah ia juga merupakan salah satu aktiviti beriadah yang terbaik untuk semua golongan terutamanya bagi bersantai dan berehat sambil menghilangkan tekanan.

Ada pemancing yang bermula hobinya dengan pancingan di air tawar dan ada yang terus ke air masin. Kebiasaannya lokasi berair masin itu ialah kolam bayar ataupun kawasan muara secara menebing atau dari atas jambatan, jeti dan rumah rakit.

Salah satu destinasi memancing muara yang popular ialah di Sungai Sepang Besar di Bagan Lalang, Selangor yang mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja untuk sampai dari Kuala Lumpur.

Di sini terdapat banyak rumah jeti, rumah rakit dan kawasan tebing yang boleh dipancing. Bot juga boleh disewa untuk pancingan ke laut atau di dalam sungai.

Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan seperti kedai peralatan pancing, kedai umpan, gerai makan dan kedai serbaneka di Pekan Sungai Pelek yang berdekatan. Orang ramai juga boleh beriadah di pantai peranginan Bagan Lalang.

Santai memancing dari atas beranda ‘Istana Sangkut’.

Istana Sangkut

Saya selalu membawa muka-muka baharu yang ‘teracun’ dengan aktiviti memancing untuk bersantai dan memancing di rumah jeti milik saya sendiri di sini yang dipanggil ‘Istana Sangkut’.

Rumah jeti ini sesuai untuk 10 orang pengunjung. Di sini tersedia kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air paip, wifi, bilik tidur, ruang dapur memasak dan tandas.

Rumah jeti ini menempatkan bot sewa untuk memancing. Selain itu pengunjung boleh juga memancing dari atas beranda yang terdapat di atasnya.

Januari lalu, rumah jeti ini dua kali dikunjungi kumpulan pemancing baharu yang berminat untuk belajar kaedah pancingan di muara.

Kumpulan pertama adalah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Seri Gombak yang pertama kali datang dan ingin belajar memancing.

Mereka datang dengan berbekalkan satu set pancing setiap orang.

Budak-budak sekolah ini telah saya ajar dengan teknik-teknik asas pancingan dasar dan berpelampung. Umpan yang disediakan ialah udang hidup dan perumpun .

Walaupun pertama kali di rumah jeti ini, semangat memancing mereka amat tinggi hinggakan sanggup menunggu umpan dihenjut ikan dari awal malam hinggalah ke pagi. Usaha gigih kumpulan pelajar sekolah ini telah menghasilkan ikan tebal pipi, siakap, malong dan gelama.

Salah satu kumpulan pemancing baharu yang pernah menginap di Istana Sangkut.

Minggu berikutnya ‘Istana Sangkut’ menerima kunjungan daripada satu kumpulan pemancing wanita. Mereka juga pertama kali ingin melakukan pancingan muara sambil bersantai dan berkaraoke.

Semuanya dapat melepak dan berehat dengan bonus hasil tangkapan berupa ikan gelama, gerut-gerut, kerapu, tetanda, sembilang, kitang dan todak.

Pancing di rumah jeti

Belajar memancing di rumah jeti amat mudah dan cepat. Mula-mula pengunjung akan diajar bagaimana memilih set pancing yang bersesuaian.

Ini diikuti dengan belajar teknik memasang umpan dan membuat lontaran ke arah lubuk ikan mengikut pasang surut air laut dan kawasan tubir sungai.

Seterusnya, teknik dan bila masa yang tepat untuk menyentap joran tatkala ikan menggetu umpan dan mengepam joran sehinggalah ikan dapat didaratkan.

Ini penting, memandangkan perairan ini selalu dikunjungi pemancing, jadi ikan di sini agak memilih dan pandai memagut umpan.

Spesies ikan yang ada di sini biasanya mengikut keadaan arus pasang surut air.

Selalunya, waktu ikan makan umpan ialah di awal pagi dan lewat petang. Bagi yang gemar merasai suasana malam, mereka akan bermalam di rumah jeti sebelum pulang keesokan paginya.

Biasanya, memancing malam lebih diminati kerana cuaca tidak panas dengan tiupan angin sepoi-sepoi dari laut.

Hasil pancingan pada waktu malam kadang-kadang mengejutkan kerana ikan-ikan bersaiz kasar tidak takut bermain rapat ke kawasan jeti, mungkin faktor kurangnya gangguan bunyi bot lalu lalang berbanding di siang hari.

Kesemua pemancing baharu yang pulang daripada rumah jeti ini sangat seronok dan puas hati serta berhasrat untuk kembali lagi di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN