JAM menunjukkan pukul lima petang dan bot kami baru bergerak keluar ke laut. Di dalam perjalanan, bot kami menghimpit satu bot sotong untuk mengambil umpan sotong hidup dari bot tersebut yang telah ditempah awal.
Selesai memindahkan umpan sotong hidup, bot bergerak ke kawasan unjam untuk mencari umpan ikan hidup pula. Penting sebagai satu pasukan, semua orang bekerjasama melakukan aktiviti mengunjun apollo supaya pantas mengumpul stok umpan ikan hidup yang berupa kembung, selar dan tamban.
Kesemua umpan hidup seperti sotong dan ikan-ikan kecil ini merupakan nadi utama sesi pancingan kerana kami memfokuskan pancingan dasar.
Perairan Koh Adang di Thailand ini sememangnya terkenal dengan keculasan ikan-ikan demersalnya dan selalunya ia lebih memilih umpan hidup yang didapatkan dari perairannya sendiri.
Selesai mendapatkan stok umpan yang mencukupi, bot meneruskan perjalanan ke lokasi pertama dan kami sampai sekitar pukul 11 malam. Masing masing bergegas menurunkan umpan, namun majoriti ikan di lubuk ini mengunci mulut seketat-ketatnya.
Kami dapat juga hasil tangkapan tetapi dalam nisbah seekor ikan dalam masa berselang setiap dua jam. Itupun, ia hanyalah beberapa ekor ikan barracuda yang sesat dan kelaparan.
Sebaik matahari memunculkan sinarnya, tekong mengarahkan kami mengarau naik tali pancing untuk berpindah ke lokasi baharu.
Hari kedua
Tiga jam perjalanan, barulah kami tiba ke lokasi seterusnya. Tidak sabar dengan keputusan yang menghampakan pada malam tadi, semua orang bergegas menurunkan umpan.
Nampaknya lubuk baharu ini ada penghuninya apabila Faez mendapat seekor ikan kerapu bara, ia diikuti pula oleh Leman dengan seekor ikan kerapu bintik dan Ramzi menaikkan seekor ikan landok.
Saya duduk di bahagian belakang bot memasang umpan selar hidup dicangkuk pada tiga mata kail serangkai yang diikat pada perambut dawai. Umpan dihanyutkan dengan harapan ada ikan tenggiri yang sudi membahamnya.
Sementara itu, satu lagi set pancing saya gunakan sebagai pancing dasar dengan menurunkan umpan sotong hidup selepas umpan ikan tamban tidak dicuit ikan langsung.
Target utama saya ialah ikan jenahak.
Sebaliknya, tiada seekor pun jenahak yang sudi, tetapi ia berganti dengan dua ekor ikan ebek remaja.
Boron
Sambil berborak dengan tekong, dia sempat menjeling set pancing kelas berat yang tidak saya gunakan. Dia mempersoalkan kenapa saya tidak menggunakannya kerana di lubuk itu ada ikan kerapu mata hijau saiz kasar atau ‘boron’.
Mendengarkan info tersebut saya terus memasang joran Ajiking itu dan dipadankan dengan kekili Shimano Tiagra SW50 yang dimasukkan mainline braided 150 paun (lb).
Sebagai insurans, saya guna perambut dawai berkekuatan 100lb yang diikat mata kail lingkar (circle hook) saiz besar.
Tekong memasang umpan seekor ketam bunga kerana menurutnya ia merupakan umpan kegemaran ‘boron’ di lubuk itu.
Tambah tekong lagi, umpan ketam sukar digetu dan dihabiskan oleh ikan-ikan kecil, jadi jika ada yang membahamnya, selalunya ia ialah ikan bersaiz kasar.

Berjam-jam menunggu ‘boron’, harapan saya semakin merudum dan akhirnya berakhir dengan ‘kosong’. Saya ingatkan trip ini tiada harapan dapat melihat ‘boron’ dinaikkan, namun apabila sudah tersurat rezeki, ia pasti akan dimakbulkan.
Nazri yang duduk di sebelah hadapan bot menggunakan persembahan mengumpan sama seperti apa yang saya gunakan mendapat rentapan padu yang menundukkan jorannya hampir 90 darjah.
Kekili elektrik Shimano Beastmaster MD6000 yang dipasang di jorannya itu bekerja dengan cemerlang, mengarau tali dengan pantas bagi mengelakkan ikan membenam ke kawasan karang. Akhirnya, seekor kerapu ‘boron’ seberat 16.4 kilogram berjaya ‘dilantaikan’ di bot.
Inilah dikatakan rezeki masing-masing, berkemungkinan posisi saya di belakang bot tidak betul-betul duduk di atas lubang kerapu tersebut, berbanding dengan Nazri yang berada di hadapan bot.
Walaupan jarak antara kami hanyalah beberapa meter, tetapi ia boleh merubah keputusan hasil pancingan kerana bentuk muka bumi di dasar laut berlainan dengan lain spesies dan saiz ikan dalam jarak meter persegi.
Kami menunggu lagi jika ada kawan-kawan ‘boron’ tadi masih sudi dengan umpan yang dihulurkan, namun suasana menjadi senyap sunyi.
Lewat petang itu, sekali lagi bot berpindah lubuk dan kali ini ia berdekatan dengan darat. Sampai sahaja di lokasi baharu ini, saya terus menghanyutkan seekor ikan selar hidup dan hasilnya ialah seekor ikan tenggiri yang diidamkan sejak dari awal trip berlangsung lagi.
Dalam pada saya sedang melayan tarikan tenggiri tadi, Che Mat turut dapat seekor ikan sagai dan Dzuljuri sempat menaikkan beberapa ekor ikan saiz hidangan.
Malamnya bot hanya berpindah di beberapa lubuk di kawasan sekitar yang berdekatan. Dapatlah kami menambah koleksi ikan bagi memenuhkan tong ais masing-masing sebelum menamatkan sesi pancingan dan terus menuju ke jeti pada awal pagi itu.
Sebagai rutin trip, sebelum tiba ke sempadan, kami sempat singgah di sebuah restoran Thai kegemaran dan memilih beberapa ekor ikan terbaik untuk dimasak dan dinikmati bersama-sama.














