SUNGAI PETANI – Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) cerebral palsy mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan dengan menjual minyak wangi jenama sendiri secara online dan kedai yang baru dibukanya.
Muhammad Azamirudin Ismail, 32, berkata, sebelum ini dia sudah melakukan pelbagai jenis perniagaan termasuk menjual ikan hiasan seawal usia 14 tahun.
Katanya, dia sentiasa berusaha memajukan hidup walaupun berdepan pelbagai cabaran kerana terpaksa bergantung sepenuhnya pada kerusi roda.
“Terbaharu saya jual minyak wangi dalam kedai yang disewa di Bandar Puteri Jaya di sini. Sebelum ini saya sering berdoa untuk ada kedai sendiri dan alhamdulillah tahun ini Allah makbulkan.
“Kedai itu dijadikan tempat proses minyak wangi dan pusat memborong. Kawan-kawan ramai yang bantu san buat masa ini pendapatan diperoleh sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan bergantung kepada keadaan,” katanya.
Menurut Muhammad Azamirudin, dia juga tidak lupa membantu golongan memerlukan seperti asnaf, gelandangan dan mangsa banjir sebagai balasan ke atas kebaikan yang diterimanya.
Untuk rekod, Muhammad Azamirudin pernah menerima Anugerah OKU Terbaik pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Komuniti sempena Sambutan Ulang Tahun ke-31 Pengisytiharan Majlis Perbandaran Sungai Petani 2025.














