TAMPIN – “Masa baharu jatuh ke dalam pembetung tu, anak bongsu saya panggil nama abangnya, namun sekejap sahaja sebelum suara itu tiada,” luah Lye Hoi Guan, 48, bapa kepada pelajar yang tercampak jatuh ke dalam pembetung di Jalan Bunga Tanjung di sini malam semalam.
Hoi Guan yang ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tampin itu berkata, ketika kejadian, anak bongsunya itu, Lye Yun Kee, 14, membonceng motosikal yang ditunggang anak sulungnya yang juga lelaki berusia 17 tahun ke rumah rakan di Kuala Ina.
“Sebaik terbabit nahas, anak sulung saya terus hubungi saya. Dalam masa lima minit saya dah sampai ke sana, tetapi anak bongsu saya masa tu dia dah pun tenggelam. Suaranya pun tak ada didengar sudah.
“Anak saya sangat baik dan tahun ini, dia terpilih jadi pengawas di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Pulau Sebang. Saya sedih, saya harap kontraktor yang buat kerja-kerja pembetungan ini dapat pastikan keselamatan terjamin untuk pengguna jalan raya,” katanya, di sini, hari ini.
Ujar Hoi Guan lagi, susulan insiden menyayat hati berkenaan, dia serta keluarganya tidak menyambung perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu hadapan kerana masih bersedih dengan kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE














