TANGKAK – Seorang lelaki kerugian sebanyak RM307,000 apabila terpedaya dalam urusan jual beli sebidang tanah di daerah ini sejak 13 tahun lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib, pihak polis menerima satu laporan polis hari ini daripada seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun berkenaan penipuan belian sebidang tanah.
“Mangsa di dalam kes ini telah diperdayakan oleh suspek dengan tidak membuat pertukaran hak milik tanah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak pejabat tanah.
“Mangsa telah ditawarkan untuk urusan berkenaan sekitar bulan Mac 2013 dan telah melakukan transaksi sejak 24 April 2013 sehingga 20 Ogos 2014 dengan pembayaran menggunakan cek dan tunai untuk pembelian tanah seluas 1.59 ekar berbentuk tanah lot, di mana ada sebuah rumah, sebuah bangunan dan pokok durian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Roslan, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














