SEBERANG PERAI – Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini menangguhkan pertuduhan terhadap seorang lelaki yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang gelandangan di Medan Selera Kampung Jawa pada 11 Februari ini.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menetapkan tarikh baharu bagi menunggu laporan penilaian mental tertuduh, M. Perakas, 44 tahun.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang lelaki berusia 67 tahun di Medan Selera Kampung Jawa kira-kira 1 pagi, 24 Januari lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Tertuduh hadir ke mahkamah diiringi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Hasryman Osman.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki maut selepas dipukul gelandangan di lokasi sama.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Rahman, berkata mangsa berusia lingkungan 60-an dibawa ke Hospital Seberang Jaya kira-kira pukul 2.48 pagi pada 24 Januari akibat patah beberapa tulang rusuk, sebelum disahkan maut semasa menerima rawatan. -KOSMO! ONLINE














