TOKYO – Salji luar biasa di Jepun menyebabkan 30 kematian sejak dua minggu lalu, kata beberapa pegawai hari ini, termasuk seorang wanita berusia 91 tahun yang ditemui mati di bawah timbunan salji setinggi 3 meter di luar rumahnya.
Kerajaan pusat mengerahkan tentera membantu penduduk Aomori, kawasan yang paling teruk terjejas di mana salji setinggi 4.5 meter menimbus beberapa kawasan.
Perdana Menteri Sanae Takaichi mengadakan mesyuarat khas Kabinet hari ini untuk mengarahkan menteri-menteri melakukan segala yang termampu bagi mencegah kematian dan kemalangan.
Udara sejuk ekstrem menyebabkan salji tebal di sepanjang pantai Laut Jepun sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan beberapa kawasan melihat timbunan salji setebal dua kali ganda daripada biasa.
Sejak 20 Januari lalu hingga hari ini, 30 orang meninggal dunia akibat salji tebal, demikian menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana.
Antara mereka termasuk Kina Jin, 91, yang mayatnya ditemui di bawah timbunan salji di rumahnya di Ajigasawa, Aomori, kata pegawai polis tempatan.
Polis percaya salji dari bumbung rumahnya jatuh ke atas mangsa. Punca kematiannya adalah lemas, kata pegawai itu.
“Apabila cuaca semakin hangat, salji yang terkumpul akan cair dan jatuh. Ia bergantung kepada jumlah (salji) dan suhu. Bawah bumbung adalah tempat yang berbahaya,” kata pegawai tersebut.
Gabenor Aomori Soichiro Miyashita berkata, beliau telah meminta tentera Jepun untuk menghulurkan bantuan bencana.
“Salji setinggi 1.8 meter melanda ibu kota wilayah Aomori,” kata Miyashita. – AFP














