OSLO – Anak lelaki Puteri Mahkota Norway, Marius Borg Hoiby ditangkap atas tuduhan serangan baharu kelmarin sebelum perbicaraannya bermula hari ini bagi empat tuduhan rogol, lapor agensi berita United Press International semalam.
Polis Oslo berkata, Hoiby, 29, ditangkap atas tuduhan serangan, membuat ancaman dengan pisau dan melanggar perintah sekatan.
Perbicaraan Hoiby atas 38 tuduhan dijadualkan bermula hari ini dan berlangsung selama tujuh minggu.
Tuduhan-tuduhan yang dihadapinya termasuk empat kes rogol, penderaan rumah tangga bekas pasangan dan penggambaran haram beberapa wanita tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.
Dia menghadapi hukuman penjara sehingga 16 tahun, namun menafikan tuduhan paling serius.
Bagi tuduhan baharu, polis telah meminta hukuman penjara selama empat minggu untuk menghalangnya daripada melakukan kesalahan semula.
Mahkamah daerah Oslo memutuskan bahawa dia boleh ditahan sehingga 2 Mac melainkan diputuskan sebaliknya oleh mahkamah.
Ibunda Hoiby, Puteri Mahkota Mette-Marit, berkahwin dengan bakal raja Norway, Putera Mahkota Haakon. Beliau merupakan bakal permaisuri. – AGENSI














