LONDON – Juara Piala Dunia Kelab, Chelsea boleh dikatakan kembali mendapat rentak terbaik untuk aksi separuh akhir kedua Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Arsenal di Stadium Emirates awal pagi esok.
Walaupun tewas 2-3 sewaktu separuh akhir pertama bulan lalu, namun Chelsea tetap berkeyakinan tinggi bahawa mereka mampu mengubah keputusan berdasarkan prestasi semasa barisan pemain.
Kebangkitan tiga gol dalam babak kedua untuk menewaskan West Ham United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) baru-baru ini wajar menjadi amaran buat Arsenal menjelang perlawanan tersebut.
Tiga gol itu dijaringkan oleh Joao Pedro, Marc Cucurella dan Enzo Fernandez memastikan Chelsea merakam kemenangan kelima berturut-turut sejak tewas kepada Arsenal sebelum ini.
Pengurus Chelsea, Liam Rosenior menggesa anak-anak buahnya supaya mengekalkan momentum semasa dalam misi memburu pentas final EFL musim ini.
“Saya gembira dengan reaksi pemain secara keseluruhan walaupun ketika itu kami tewas kepada Arsenal. Sudah tentu kecewa (tewas separuh akhir pertama) tetapi saya yakin kami masih ada peluang untuk mengubahnya.
“Ia akan terjadi jika kami berikan lebih baik dalam perlawanan itu dan tidak melepaskan gol-gol mudah seperti terjadi kepada West Ham. Ia akan menjadikan tugas kami sangat sukar jika ia berlaku.
“Saya percaya kami boleh lakukannya dan sekarang terpulang kepada pemain untuk terjemahkannya di atas padang nanti,” kata bekas pengendali Strasbourg itu.
Sewaktu separuh akhir pertama, Arsenal meledak tiga gol menerusi Ben White, Viktor Gyokeres dan Martin Zubimendi tetapi dua jaringan Alejandro Garnacho kembali menghidupkan peluang Chelsea.
Malangnya, Chelsea bakal turun ke Emirates tanpa kehadiran pemain sayap, Jamie Gittens yang tidak dapat menamatkan aksi menentang West Ham kerana kecederaan.
Jika menang, lawan Chelsea di pentas final nanti antara Manchester City atau Newcastle United yang akan turun separuh akhir kedua awal pagi Khamis ini. – AGENSI














