fbpx
Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah gudang di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu malam tadi.

76.8 tan stok limau mandarin hangus dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Sebanyak 76.8 tan stok buah limau mandarin untuk dijual sempena sambutan Tahun Baharu Cina hangus selepas sebuah gudang yang sudah beroperasi sejak lebih 30 tahun lalu di Jalan Kebun Sultan di sini terbakar malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, barangan import lain termasuk kurma, bawang dan beberapa buah lori yang berada dalam gudang berkenaan turut terbakar.

Pengurus gudang itu, Hong Lee Feng berkata, kejadian berlaku semasa dia berada di rumah sebelum menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan mengenai kebakaran tersebut.

Katanya, sebelum pulang dari gudang itu kira-kira pukul 8 malam, dia sudah memeriksa keadaan premis tersebut dan mendapati semuanya dalam keadaan baik.

“Selepas menerima panggilan telefon, saya bergegas ke gudang dan mendapati api sudah marak. Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

“Bekalan limau mandarin untuk Tahun Baharu Cina baru dibawa masuk kelmarin manakala barangan yang lain sudah berada di dalam gudang tersebut beberapa hari sebelum itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian malam tadi.

Lee Feng memberitahu, gudang berkenaan sudah beroperasi lebih 30 tahun dan menjadi tempat penyimpanan barangan sebelum ia diedarkan ke seluruh Kelantan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan, Mohd. Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi berkata, pihaknyamenerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.09 malam sebelum menggerakkan seramai 50 pegawai dan anggota bomba bersama empat jentera ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN