ISKANDAR PUTERI – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman persada Liga Super apabila berjaya membenam Imigresen FC 5-0 pada aksi di Stadium Sultan Ismail (SSI) di sini, malam ini.
Kemenangan mengutip tiga mata penuh itu membolehkan Harimau Selatan menghuni tangga teratas carta liga dengan 51 mata dengan mengekalkan rekod tanpa kalah.
Pada aksi awal separuh pertama perlawanan, kedua-dua pasukan tampak bermain secara seimbang apabila masing-masing membuatkan gerakan serangan ke kubu lawan masing-masing.
Pada minit ke-10, anak buah Yusri Che Lah hampir menghukum kealpaan JDT apabila Nik Akif Shahiran melepaskan sepakan ke arah pintu gol namun percubaan itu melepasi gawang gol.
Skrip perlawanan berubah pada minit ke-20 apabila Teto Martin menghantar bola tepat ke kaki Joao Figueiredo sebelum melepaskan rembatan cantik untuk menghasilkan gol pembukaan.
Memasuki babak kedua perlawanan, JDT menukar rentak permainan apabila menggandakan serangan demi serangan untuk ‘melemaskan’ pertahanan pasukan pelawat.
Pemain pertahanan Imigresen, Milani Bueno untuk ‘clear’ bola hasil lambungan Yago Da Silva pada minit ke-59 menghasil gol sendiri sekali gus menghadiahkan gol kedua Harimau Selatan.
Tidak sampai dua minit, ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva mencetak nama selaku penyumbang gol ketiga hasil rembatan di luar petak penalti.
Berselang enam minit kemudian, Imigresen semakin lemas dan tertekan apabila pemain pertahanan JDT, Marcos Guilherme mengukuhkan kedudukan pasukannya apabila meledakkan kol keempat pada minit ke-66 hasil umpanan cantik Teto Martin.
Pada masa tambahan, kelekaan kubu pertahanan Imigresen sekali lagi dihukum apabila sentuhan Bergson selepas menerima ‘assist’ Hector Alejandro menerjah jaring gol meletakkan JDT terus dihadapan dengan 5-0 sehingga wisel penamat dibunyikan. – KOSMO! ONLINE














