JOHOR BAHRU – Pengunjung yang mengunjungi Zoo Johor, di sini sempena cuti umum perayaan Thaipusam, hari ini mendapat kejutan istimewa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melawat premis tersebut.
Beliau yang tiba pada pukul 3.10 petang itu sempat meluangkan masa lebih satu jam di kawasan zoo berkenaan sambil ditemani anak dan cucu-cucunya.
“Ini lawatan tidak rasmi saya,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita.
Dalam lawatan berkenaan, beliau turut berkesempatan beramah mesra dengan pengunjung zoo lain yang meminta untuk bergambar bersama.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, selain mengunjunginya Zoo Johor, Anwar turut menaiki perkhidmatan Tren Elektrik 3 dari stesen Kuala Lumpur ke JB Sentral.
“Saya amat berbesar hati apabila dimaklumkan Perdana Menteri mahu mengadakan lawatan dan mengunjungi Zoo Johor. Saya ambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada beliau dan keluarganya.
“Alhamdulillah, tadi beliau cakap (keadaan zoo) baik dan cantik. Mungkin dulu dia pernah datang sedikit kotor sebelum ditambah baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














