KUALA NERUS – Polis Terengganu membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang lelaki cedera dibelasah oleh anggota pasukan keselamatan itu sewaktu pelaksanaan Operasi Samseng Jalanan di pusat bandar Dungun dekat sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, siasatan telah dilakukan selepas menerima laporan berhubung kes tersebut.
“Saya ingin mengetahui siapa pelaku sebenar dalam kes ini. Jika siasatan terbukti benar melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tindakan tegas akan diambil.
“Kita tidak akan berkompromi dan tidak akan melindungi mana-mana individu biar pun anggota PDRM,” kata di Gong Badak di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, beberapa individu termasuk pengadu akan dipanggil bagi memberi keterangan.
Sebelum ini, seorang lelaki mendakwa cedera pada bahagian muka akibat dikasari anggota polis sewaktu diperiksa dalam Operasi Samseng Jalanan di pusat bandar Dungun kelmarin.- KOSMO! ONLINE














