KUALA LUMPUR – Seorang ibu merayu bantuan pihak berkaitan untuk menyelamatkan anak lelakinya yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar sejak tahun 2022.
Wanita itu yang dikenali sebagai YK, 44, dari Semenyih berkata, anaknya itu yang kini berusia 21 tahun pergi ke negara itu tanpa pengetahuan mereka.
Katanya, sebelum hilang, anaknya hanya memaklumkan mahu pergi bekerja di Kuala Lumpur sebagai tukang masak.
“Saya dapat dihubunginya pada 23 Januari lalu, ketika itu dia minta RM45,000 untuk selamatkan dia. Saya terkejut apabila diberitahu dia sekarang berada di Myanmar.
“Setiap kali Tahun Baharu Cina, saya tunggu dia balik. Tahun ini saya cuma doa satu perkara saja, biarlah dapat jumpa dia,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.
Menurutnya, dia tidak membuat laporan polis pada peringkat awal kerana masih dapat berhubung dengan rakan-rakan anaknya.
“Rakan dia kata anak saya sibuk bekerja dan melakukan dua kerja dalam satu masa. Sebab itu saya tidak berasa curiga,” katanya.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishammuddin Hashim berkata, kes itu dipercayai mempunyai unsur pemerdagangan manusia dan penipuan pekerjaan di luar negara.
Katanya, MHO telah menerima aduan keluarga mangsa dan sedang membantu mengumpul maklumat untuk tindakan lanjut.
“Mangsa masih sangat muda dan ini antara kes yang sering kami terima melibatkan tawaran kerja palsu sebelum dibawa ke negara berisiko seperti Myanmar,” katanya. – KOSMO! ONLINE














