KUALA LUMPUR – Bagi memperkasakan struktur kejurulatihan pasukan kebangsaan serta meningkatkan prestasi pemain, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan melantik tiga jurulatih baharu.
Tiga nama baharu dibawa masuk ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara adalah dua jurulatih tempatan, Yeoh Kay Bin dan Mohd. Zakry Abdul Latif serta seorang jurulatih dari Indonesia, Harry Hartono.
Harry diberikan tanggungjawab sebagai jurulatih perseorangan lelaki negara dan Kay Bin memikul tanggungjawab selaku jurulatih perseorangan lelaki remaja, manakala Zakry dilantik sebagai jurulatih beregu wanita.
Harry dan Kay Bin akan berganding bahu membimbing skuad perseorangan lelaki kebangsaan yang diketuai Datuk Tey Seu Bock dan turut dibantu K. Yogendran serta Goh Giap Chin.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei menaruh sepenuh kepercayaan bahawa pengalaman serta kepakaran ketiga-tiga jurulatih baharu itu mampu menjadi nilai tambah kepada program latihan skuad kebangsaan.
“Kami telah berbincang mengenai perkara ini dengan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen dan beliau telah mengemukakan senarai calon jurulatih dengan fokus kepada kesinambungan pemain muda.
“Kami berdua merupakan bekas pemain dan memahami keperluan jurulatih. Beliau turut memberikan pandangan mengenai peranan yang paling sesuai untuk jurulatih-jurulatih ini,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga bekas perseorangan lelaki No. 1 dunia menjelaskan, pelantikan Zakry sebagai jurulatih beregu wanita merupakan permintaan daripada Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.
Pada masa sama, Chong Wei menyifatkan pelantikan tersebut mencerminkan komitmen BAM bagi membentuk pembangunan pemain yang lebih sistematik dan teratur bermula dari peringkat remaja hingga profesional.
“Apa yang paling penting adalah semua jurulatih, tidak kira senior ataupun remaja perlu bekerjasama. Saya sentiasa katakan bahawa kita adalah satu keluarga dan mesti bekerja secara kolektif,” ujarnya.
Ketiga-tiga jurulatih berkenaan akan memulakan tugas secara rasmi bulan depan dengan Kay Bin melapor diri pada 3 Februari, Harry 10 Februari manakala Zakry bermula 20 Februari. – KOSMO! ONLINE














