PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil seramai 20,000 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 baharu secara Contract of Service (CoS) bagi memenuhi keperluan guru di sekolah seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, inisiatif pengambilan guru baharu itu merupakan sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Selain itu, katanya, ia juga sebagai persiapan bagi menghadapi kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela bermula tahun hadapan.
“Proses pengambilan guru baharu ini mendapat kerjasama penuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Gerak kerja telah dijadualkan seperti hebahan pengambilan guru yang akan dilaksanakan pada 23 Februari, selain permohonan dibuka (2-20 Mac 2026) dan proses saringan temuduga (27 April – 14 Mei),” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Bagi memastikan aspek kompetensi guru terpelihara, katanya, calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM dalam pelbagai bidang pengkhususan.
“Inisiatif ini adalah cerminan komitmen berterusan kerajaan bagi meningkatkan mutu pendidikan negara demi manfaat anak-anak Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE














