fbpx
ARSENAL dijangka mampu untuk dinobatkan sebagai juara EPL musim ini biarpun tewas berdepan United sebelum ini. - AFP

EPL: Kejuaraan bakal milik Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Kegagalan Arsenal meraih mata selepas menanggung kekalahan kepada Manchester United di Emirates minggu lalu menyaksikan dua pencabar mereka, Manchester City dan Aston Villa semakin mendekati kedudukan pendahulu itu.

Skuad kendalian Mikel Arteta hanya memiliki kelebihan empat mata sahaja ketika ini, sekali gus meletakkan kedudukan mereka sebagai calon juara Liga Perdana Inggeris dalam keadaan berisiko.

Biarpun kehilangan mata penting dalam perlawanan itu, super komputer Opta masih meletakkan The Gunners sebagai calon utama yang akan menjulang gelaran musim ini selepas kempunan sejak beberapa musim lalu sebagai naib juara.

Opta menjangkakan Arsenal yang mengutip 50 mata selepas 23 perlawanan akan mengumpul keseluruhan 85 mata pada akhir musim dengan 84.44 peratus peluang untuk muncul juara, sekali gus menamatkan penantian 22 tahun.

Tidak ada pasukan diletakkan peluang dengan peratusan dua digit untuk bergelar juara termasuk Aston Villa yang bakal menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan jangkaan mengumpul 72 mata dengan peluang muncul juara hanya 7.09 peratus.

Skuad kendalian Pep Guardiola, Manchester City pula diunjur menamatkan saingan di kedudukan ketika dengan kekurangan satu mata berbanding Villa pada aksi musim.

Sementara itu, penyandang juara, Liverpool yang berdepan isu prestasi di saingan EPL hingga menyaksikan mereka sekadar berada di kedudukan keenam ketika ini dijangka mampu menamatkan saingan dua anak tangga lebih tinggi, manakala Chelsea berada di kedudukan kelima.

United yang kini dikemudi Michael Carrick mungkin tidak meletakkan impian untuk bergelar juara EPL, namun hasrat mereka untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara mungkin tidak kesampaian apabila dijangka menamatkan saingan di kedudukan keenam.

Mereka hanya memiliki 21.71 peratus peluang untuk kembali ke saingan utama Eropah berkenaan selepas dijangka hanya mampu mengumpul 59 mata pada akhir musim nanti. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN