PETALING JAYA – Industri pageant lelaki Malaysia melangkah ke fasa lebih matang apabila Juara Dunia Mister Tourism World 2025, Asyraf Dasley, secara rasmi melancarkan Casting Mister Tourism Malaysia 2026, sekali gus menandakan bermulanya misi besar melahirkan ikon lelaki berimpak tinggi di pentas nasional serta antarabangsa.
Menurut Asyraf atau nama sebenar, Muhammad Asyraf Mohd Dasli, 35, Malaysia memerlukan figura lelaki berwibawa, bukan hanya tampan di pentas peragaan, malah berilmu, berkeyakinan serta mampu membawa naratif negara dengan penuh karisma.
“Malaysia perlukan ikon lelaki mampu berdiri di hadapan dunia dan bercakap tentang negara kita dengan yakin, bijak serta berkelas.
“Bukan sekadar berjalan di pentas, tetapi membawa nilai, prinsip dan jati diri,” katanya.
Kejayaan Asyraf sendiri menjuarai Mister Tourism World 2025 dianggap bukti jelas keberkesanan platform tersebut sebagai medan pembentukan kepimpinan serta pembinaan legasi jangka panjang.
Mengulas hala tuju pertandingan itu, Asyraf menegaskan misinya bukan hanya mencari pemenang tahunan, sebaliknya membina sistem berterusan melahirkan lelaki berkualiti tinggi.
“Saya tidak mahu hanya melahirkan juara. Saya mahu membentuk lelaki yang negara dan dunia akan hormati.
“Proses casting bukan semata-mata pemilihan peserta, malah menjadi platform pembangunan kepimpinan merangkumi pembentukan sahsiah, komunikasi serta keupayaan menjadi duta pelancongan dan budaya negara,” ujarnya.
Berbeza daripada pertandingan pageant konvensional, Asyraf berkata Mister Tourism Malaysia memberi penekanan terhadap pembinaan karakter serta impak sosial peserta.
“Peserta terpilih bakal menjalani latihan intensif merangkumi pelbagai aspek penting antaranya menjadi duta pelancongan Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Selain itu, mereka akan mewakili budaya serta identiti negara dengan penuh wibawa san menguasai komunikasi, kepimpinan dan pembinaan jenama diri.
“Peserta akan terlibat aktif dalam program komuniti serta inisiatif sosial,” jelasnya.
Casting Mister Tourism Malaysia 2026 berlangsung di Conference Hall, Menara Lembaga Getah Malaysia, Kuala Lumpur, dengan penyertaan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk model, atlet, profesional, usahawan, pelajar serta pencipta kandungan digital.
Kesemua calon dinilai berdasarkan potensi kepimpinan, kebolehan komunikasi, personaliti serta keupayaan membawa imej Malaysia secara berhemah dan meyakinkan.
Barisan juri profesional terdiri daripada Bon Zainal Harun, Benjamin Toong, Khairy Sulaiman, Hafiz Mikael, Ziera Mohd Noor serta Tony, masing-masing tampil dengan pengalaman luas dalam industri fesyen, komunikasi, pengurusan bakat dan pembangunan imej. – KOSMO! ONLINE.














