fbpx
Muhammad Kifli (kiri) menunjukkan sebuah van Thailand yang disita Ops Khas Tunggak Kenderaan Thailand di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Panji dekat Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Pemandu van Thailand tiada permit kutip RM30,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Pemandu van persendirian Thailand yang tidak memiliki Permit Edaran Antarabangsa (ICP) memperoleh pendapatan mencecah RM30,000 sebulan hasil aktiviti membawa penumpang dari negara jiran ke Malaysia.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, siasatan mendapati, pemandu van menetapkan tambang RM70 hingga RM150 kepada seorang penumpang dai Thailand untuk perjalanan sehala ke negara ini.

Menurutnya, sebuah van tersebut mampu membawa lapan hingga 10 penumpang setiap kali perjalanan dari pintu sempadan di Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak.

“Siasatan lanjut mendapati, mereka membuat kira-kira lima ‘trip’ seminggu dengan kebanyakannya membawa pekerja kedai tomyam yang masuk untuk mencari rezeki di Lembah Klang dan Johor.

“Pada awalnya mereka membawa masuk penumpang dan meninggalkan di pintu sempadan. Selepas itu, pemandu van mengambil semula penumpang (melebihi jarak dua kilometer) sebelum membawa ke destinasi yang dituju,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Khas Tunggak Kenderaan Thailand di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Panji di sini hari ini.

Muhammad Kifli memberitahu, siasatan lanjut mendapati, kebanyakan pemandu van Thailand mempunyai penumpang tetap yang akan masuk dari negara itu ke Malaysia.

Menurutnya, pemandu van Thailand tidak boleh membawa penumpang di negara ini dan ICP hanya dikeluarkan untuk kenderaan persendirian sahaja.

“Setakat ini, lebih 1,000 van dari Thailand yang masuk melalui pintu masuk di empat negeri.

“Sejak melaksanakan Ops Tunggak Kenderaan Thailand bermula 16 Januari hingga hari ini, sebanyak 80 buah van Thailand disita atas kesalahan tiada ICP, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan pamer ICP tidak mengikut kehendak yang ditetapkan.

“Di Kota Bharu sahaja, sebanyak 13 buah van Thailand ditahan dalam operasi itu. Kenderaan tersebut akan disemak kesalahan lampau dan akan dilepaskan sekiranya pemandu van tersebut menyelesaikan semua saman yang tertunggak,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh operasi, sebuah van Thailand didapati memiliki 45 saman tertunggak melibatkan kesalahan ICP dan trafik dengan jumlah saman sebanyak RM14,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN